Tuesday, June 18

Penjelasan isu vaksin - Ketua Pengarah KM dan Jakim



Sambungan entry lepas... isu vaksin yang saya publishkan..
ISU VAKSIN TAK HALAL
Entry ni panjang ye.. yang berminat nak tau teruskan membaca...



KENYATAAN AKHBAR BERSAMA

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA DAN

KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

PENJELASAN TERHADAP KERAGUAN SUNTIKAN VAKSIN (IMUNISASI)

1. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyedari ada di kalangan ibubapa yang agak khuatir dan ragu-ragu untuk memberikan suntikan vaksin atau imunisasi kepada bayi mereka ekoran daripada berita-berita dan khabar angin yang tersebar luas di media baru yang mengatakan bahawa vaksin mengandungi bahan-bahan haram dan membahayakan yang boleh mengancam kesihatan dan nyawa manusia. Juga turut disebarkan ialah program imunisasi yang dijalankan oleh Kerajaan adalah bertujuan untuk melemahkan umat Islam. Semua berita yang tersebar ini dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan sebenarnya boleh mendedahkan anak-anak dan masyarakat kita dengan kemungkinan dijangkiti penyakit-penyakit merbahaya yang boleh mengancam nyawa.

2. Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan telah dijalankan oleh Kerajaan sejak tahun 1950an. Imunisasi bertujuan untuk mencegah 12 jenis penyakit berjangkit disebabkan oleh bakteria dan virus tertentu, diberikan percuma kepada bayi dan kanak-kanak di klinik kerajaan. Kematian kanak-kanak telah menurun sebanyak 85% bagi tempoh 1970 hingga 2000, antaranya hasil dari peningkatan skop perkhidmatan kesihatan termasuk imunisasi. Imunisasi juga telah berjaya membasmi cacar (smallpox) dari dunia ini. Manakala polio telah berjaya dibasmi di kebanyakan negara di dunia, termasuk Malaysia. Imunisasi bukan saja melindungi penerimanya tetapi juga menghalang penyebaran penyakit tersebut.

3. Vaksin tidak mengandungi bahan-bahan yang boleh merosakkan tubuh manusia. Ia mengandungi bahan aktif dari bakteria atau virus iaitu antigen yang membantu tubuh manusia menghasilkan antibodi untuk melawan penyakit apabila dijangkiti. Vaksin juga mengandungi komponen lain seperti bahan pengawet (preservatives dan additives) serta adjuvant. Setiap komponen dan bahan ini memainkan peranan penting dalam pengawalan kualiti, keberkesanan vaksin serta keselamatannya.

4. Semua vaksin yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). Vaksin-vaksin ini telah dinilai mengikut keperluan piawaian antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya (efikasi).

5. Kesan sampingan akibat imunisasi selalunya adalah ringan dan tidak berbahaya berbanding dengan kesan jangkitan penyakit itu sendiri. Kesan sampingan yang kerap dilaporkan adalah demam dan sakit di tempat suntikan. Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, KKM sentiasa memantau kesan sampingan akibat imunisasi di semua fasiliti kesihatan. Sehingga kini, tiada tindakan regulatori terhadap vaksin akibat kesan sampingan.

6. Sebarang kesan sampingan akibat vaksin juga dilaporkan kepada WHO dan data dikongsi dengan semua negara. Justeru, sebarang kesan sampingan berbahaya dapat diambil tindakan secara bersepadu pada peringkat antarabangsa.

7. Sekiranya terdapat sebarang keraguan atau sebarang kesan sampingan selepas imunisasi, masyarakat boleh membuat laporan kepada mana-mana ahli profesional kesihatan atau terus kepada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan melalui talian 03 - 7883 5400 atau emel ke bpfk@bpfk.gov.my.

8. Dari aspek pandangan syarak pula, imunisasi merupakan satu jalan pencegahan. Pencegahan adalah perkara yang amat dituntut dalam Islam sesuai dengan kaedah Usul Fiqh iaitu سد الذريعة .

9. Al-‘Aili Abdul Hakim dalam buku Mausu‘ah Huquq al-Insan fi al-Islam, menyifatkan kesihatan individu merupakan tuntutan agama dan kehidupan, di mana ia akan memberi manfaat kepada kehidupan seluruh umat manusia. Dalam isu ini, vaksin bukan lagi merupakan kehendak seseorang, tetapi bahan pencegah ini kini menjadi keperluan kepada masyarakat secara umumnya.

10. Fenomema ibubapa enggan memberikan suntikan vaksin kepada anak-anak mereka di klinik-klinik adalah amat membimbangkan. Perbuatan ini bukan sahaja merbahaya kepada anak-anak yang merupakan generasi masa depan kita, tetapi juga boleh menjadi punca merebaknya jangkitan penyakit-penyakit merbahaya tersebut.

11. Dalam hal ini Islam amat menitikberatkan keselamatan umat manusia. Sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan untuk maslahah ummah hanya diperakukan oleh syarak sekiranya tidak bercanggah dengan Maqasid Syar’iyyah iaitu menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta. Menurut fuqaha’, sebarang penyakit perlu dihindari, dirawat dan diubati. Dalam konteks ini pencegahan daripada sebarang bentuk gejala yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa adalah menjadi pegangan dan keutamaan ajaran Islam.

12. Imunisasi adalah satu cara pencegahan yang dapat dilakukan bagi mengelakkan penyakit-penyakit merbahaya yang mengancam nyawa khususnya kanak-kanak seperti campak, tibi, batuk kokol, difteria, tetanus atau polio. Penggunaan vaksin dalam program imunisasi bagi mengelak bahaya penyakit-penyakit yang berkenaan adalah diharuskan oleh syarak selaras dengan Kaedah Fiqhiyyah iaitu درء المفاسد مقدم على جلب المصالح (Menolak Kerosakan Adalah Didahulukan Daripada Mencari Kemaslahatan) kerana sesuatu kerosakan akan cepat berkembang dan bahayanya adalah lebih besar sekiranya tidak dicegah daripada awal. Keharusan ini juga adalah berdasarkan Firman Allah s.w.t dalam surah Al- Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu kedalam bahaya kebinasaan.

13. Islam memang pada dasarnya menegah penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Dari Abi Darda’ RA, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara-perkara) yang haram”.

14. Walau bagaimanapun, dalam keadaan dharurat di mana tiada ubat lain yang boleh digunakan secara berkesan untuk mengubati sesuatu penyakit, sedangkan sesuatu penyakit itu perlu dicegah dan dirawat untuk memelihara kesihatan diri dan nyawa, ubat yang bersumberkan perkara-perkara yang ditegah adalah diharuskan selama mana tiada ubat lain dari sumber yang halal ditemui dan ianya dilakukan mengikut kadar yang diperlukan sahaja.

15. Berdasarkan ketetapan dan panduan syarak tersebut, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sejak dari tahun 1988 lagi telah mengeluarkan beberapa pandangan hukum yang berkaitan langsung dengan imunisasi yang seharusnya menjadi panduan seluruh umat Islam, antaranya Imunisasi Hepatitis B Menurut Islam, Pandangan Islam Terhadap Imunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Difteria, Tetanus Dan Polio, Ubat Pelalian Rubela (Imunisasi Rubela), Hukum Suntikan Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis Oleh Orang Islam, Hukum Penggunaan Vaksin Biothrax Dan Vaksin Rotateq Yang Menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya, Hukum Pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV) dan Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Menveo. Maklumat-maklumat mengenai keputusan tersebut boleh diperolehi melalui Portal e-fatwa (www.e-fatwa.gov.my).

16. Sukacita pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan JAKIM menasihatkan seluruh masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dan percaya dengan berita-berita yang disebarkan dalam pelbagai saluran media oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Sekiranya timbul keraguan atau perlukan pengesahan, eloklah merujuk kepada pihak berkuasa supaya penyebaran isu-isu seumpama ini tidak menimbulkan kegelisahan kepada masyarakat seluruhnya.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Tarikh: 15 Jun 2013

SUMBER BERITA


5 comments:

Unknown said...

kalut KKM :)

Cik Rose said...

thanx atas perkongsian ini..

Anonymous said...

pencerahan yg bagus ni !

Kakzakie Purvit said...

Dah jadi isu besar sekarang sebab ramai yg tak bagi anak mereka di injek.. pihak sekolah kena inform dulu sebelum anak diinjek sebab masalah ini tak macam dulu...

Unknown said...

terima kasih kongsikan....boleh jadi panduan buat yang ANTI VAKSIN!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...