Isu bergaduh di kalangan adik-beradik memang tak pernah selesai.
Ia masalah biasa di kalangan ibu bapa yang mempunyai lebih
daripada seorang anak. Buatlah macam mana sekalipun,
mereka akan tetap bergaduh. Sekejap sahaja mereka berbaik,
lepas itu mereka kembali bergaduh.
Tetapi kata orang tua-tua, air dicincang tak akan putus.
Hubungan adik-beradik tidak akan terputus biarpun mereka
kerap bergaduh. Ia sebahagian daripada proses tumbesaran
anak-anak. Pergaduhan sesama mereka sebenarnya dapat
mendidik banyak perkara seperti sikap bertolak ansur,
bersabar, komunikasi dan kemaafan.
Pernah tak kita terfikir mengapa anak-anak kerap bergaduh?
Mungkin bagi anak kecil bergaduh sesama adik-beradik
mesti disebabkan berebut alat permainan, berebut rancangan
televisyen atau salah seorang suka mengusik.
Tetapi mungkin kita terlupa adakalanya beberapa faktor lain turut
mempengaruhi anak-anak memulakan pergaduhan. Ada anak
berasa dia kurang mendapat perhatian seperti mana adik-beradik lain.
Walhal ibu dan ayah tidak pernah beranggapan begitu.
Biasanya perasaan itu terbit dari dalam diri anak sulung.
Kadang kala ibu ayah berasakan anak sulung sudah besar dan
perlu memikul banyak tanggungjawab dan perlu
mengalah dalam banyak hal.
Hal tersebut menimbulkan perasaan kurang senang mereka lalu
mula mencari hal dengan adik-beradik lain. Fasa pembesaran
mempengaruhi sikap mereka terhadap orang lain, jadi sebagai
ibu ayah, kita perlu cuba memahami emosi setiap anak-anak.
Walaupun bergelar anak sulung, mereka tetap seorang anak yang
memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian yang sama
seperti adik-beradik lain. Adakalanya perasaan bosan, keletihan
dan lapar turut menyebabkan anak-anak bergaduh sesama mereka.
Oleh itu pastikan jika di rumah terutama pada hari cuti,
anda menyediakan jadual aktiviti yang bermanfaat bagi
mengelakkan anak-anak kecil cepat bosan, merengek,
mengusik satu sama lain yang menyebabkan timbul pergaduhan.
1 comment:
gitu kisahnya...twin dah pandai gaduh Bert... risau nengoknye..kenkadang tu gurauan dowang tu membahayakan diri... tau je la...kalo nyakat tu mane reti lembut2... hahahaha...
Post a Comment