Monday, May 5

Tips Memilih Hospital Bersalin




Anda sedang hamil? Tentu persoalan di mana hendak
 bersalin bermain-main di fikiran. Memilih antara bersalin 
di hospital swasta atau kerajaan menjadi dilema pasangan bakal
 papa dan mama. Mana satu pilihan terbaik? Dapatkan maklumat 
berikut sebagai garis panduan.

Sewaktu melihat hospital dan klinik bersalin, anda tentu
 berasakan ia sama sahaja. Tetapi hakikatnya, bukan semua
 dapat memenuhi keperluan anda. Penting bagi anda menyenaraikan
 kriteria yang perlu ada pada hospital dan klinik bersalin yang
 sewajarnya menjadi pilihan anda.

Hakikatnya anda sendiri yang perlu membuat keputusan hospital mana
 untuk melahirkan bayi berdasarkan faktor keperluan, kemampuan dan
 keselesaan anda. Usah mengikut orang lain kerana setiap orang 
lain-lain keperluan dan kemampuannya.

Kebanyakan pakar obstetrik & ginekologi yang berpengalaman
 luas dalam bidang perbidanan dan sakit puan di hospital swasta dan
 kerajaan mempunyai panduan untuk bakal-bakal ibu dan wanita
 yang sedang merancang untuk memiliki anak ketika
 membuat pemilihan hospital untuk bersalin.

1. Pastikan anda tahu mengenai latar belakang sejarah kesihatan
 penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, epilepsi, asma, jantung,
 kencing manis atau komplikasi semasa hamil dan melahirkan (yang lalu)
 yang memerlukan penjagaan rapi. Dapatkan pandangan
 daripada doktor O&G yang memeriksa anda.

2. Adakah hospital yang dipilih membenarkan pasangan anda masuk 
ke bilik bersalin semasa proses kelahiran bayi? Jika anda merancang
 untuk menyusukan bayi secara eksklusif, ambil tahu adakah hospital 
itu merupakan hospital rakan bayi (menyokong penyusuan susu ibu).

3. Pastikan anda selesa dan serasi dengan doktor pakar O&G 
di hospital tersebut kerana dia akan memantau sepanjang kehamilan 
dan menyambut kelahiran bayi anda. Oleh itu sebaiknya biarlah 
pemilihan hospital bersalin dilakukan di awal kehamilan. Ini membolehkan
 anda dan doktor membina hubungan yang baik seterusnya memudahkan
 anda berkomunikasi jika ada sebarang masalah berkaitan kehamilan anda.

4. Pastikan lokasi hospital bersalin yang dipilih paling hampir
 dengan rumah kerana tidak tahu bila berlaku kecemasan.
 Jadi ia mudah untuk datang secepat mungkin tanpa 
perlu menempuh kesesakan jalan raya.

5. Pastikan hospital pilihan mempunyai kepakaran dan kemudahan 
yang lengkap jika berlaku sebarang kecemasan semasa melahirkan anak. 
 Bagi mereka yang berisiko tinggi seperti ada masalah kesihatan, 
berpengalaman bersalin secara pembedahan caesarean, 
ada komplikasi semasa hamil, digalakkan bersalin di hospital kerajaan
 kerana kemudahan dan kepakaran yang lengkap dan cukup. 
Ini kerana bukan semua hospital swasta mempunyai pakar bius
 yang bersedia sepanjang masa atau kemudahan unit rawatan rapi neonatal.

Selepas meneliti serba sedikit maklumat mengenai beberapa 
hospital berikut, mungkin anda sudah memiliki panduan untuk 
memilih hospital bagi melahirkan zuriat. Tidak kira sama ada pilihan 
anda adalah hospital kerajaan ataupun swasta pastikan kriteria 
penting yang memihak kepada keselamatan diri sendiri
 dan bayi menjadi keutamaan.

Memang tidak dinafikan antara kedua hospital mempunyai kelebihan
 dan kekurangan masing-masing yang hanya boleh dipertimbangkan 
oleh bakal mama sendiri. Bagaimanapun faktor kewangan juga 
antara perkara penting yang perlu diambil kira ketika membuat pilihan

Jika berkemampuan dan mahukan layanan lima bintang tidak salah
 memilih hospital swasta terkemuka sebagai pilihan bersalin. 
Namun bukan bermakna mereka yang memilih hospital kerajaan
 tidak menerima perkhidmatan berkualiti kerana kita sedia maklum
 fasiliti di hospital kerajaan lengkap dan canggih. 
Bak kata pepatah, tepuk dada tanya selera.

1 comment:

Anonymous said...

good tips, tq share yer

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...