
Penggemar kerang dan selalu membelinya di Pasar Chow Kit, 
di sini, patut berfikir dua kali untuk membeli makanan itu berikutan
 penemuan mengejutkan pusat memproses kerang yang didapati berjiran 
dengan pusat penyembelihan daging babi di pasar berkenaan.
KOTOR...dua peniaga kerang membungkus kerang berhampiran
 lokasi penyembelihan daging babi di pasar Chow Kit. 
Penemuan itu dikesan selepas sepasukan pegawai Jabatan Kemajuan
 Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah 
Persekutuan (Jawi) menjalankan pemeriksaan mengejut di pasar
 Chow Kit bagi mengenal pasti peniaga yang melakukan kesalahan
 mengikut hukum syarak.
Dalam serbuan kira-kira jam 5 pagi kelmarin, tiga peniaga kerang
 sibuk membungkus longgokan kerang dianggarkan seberat lebih
 50 kilogram yang ditaburkan ke atas lantai pasar berkenaan.
Bagaimanapun, agak memeranjatkan apabila kerang yang 
mahu dijual kepada orang ramai itu didapati hanya kira-kira dua meter 
dari daging babi yang belum dilapah dan berdarah.
Sumber Jakim berkata, babi terbabit yang sudah dipotong dua 
dikesan baru dihantar pembekal ke pasar berkenaan sebelum 
diletakkan di atas kerusi batu di pusat menjual babi itu bersama 
bahagian organ lain antaranya hati dan limpa.
“Bagaimanapun, darah haiwan berkenaan mengalir dan 
membasahi lantai yang digunakan peniaga kerang untuk 
meletakkan kerang di kawasan berkenaan.
“Apabila ditanya, peniaga kerang terbabit seolah-olah tidak 
mengetahui ia perbuatan yang boleh mengundang rasa kurang 
senang pengguna Islam. Peniaga berusia 50-an terbabit mendakwa 
kerang berkenaan hanya perlu dibersihkan dan dijual kepada 
pelanggan di pasar berkenaan,” katanya.
Menurutnya, lokasi memproses kerang dan pusat penyembelihan 
daging babi terbabit yang terletak di tempat sama dianggap tidak 
strategik dan boleh menjadi haram dimakan sekiranya berlaku 
percampuran antara air atau darah khinzir dengan kerang yang diproses.
Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah 
yang melihat lokasi penyembelihan babi di pasar Chow Kit 
menganggap kawasan berkenaan sudah uzur dan tidak sesuai 
untuk dijadikan pusat pemprosesan makanan halal.
Menurutnya, kawasan pemprosesan babi terbabit tidak hanya 
terletak berdekatan pusat memproses kerang, malah turut terletak
 bersebelahan dengan pusat penyembelihan dan memproses ayam daging.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
4 comments:
eeee...jijik okeh!!
siyes nak termuntah..huh
waaaaaa...semalam buka dengan kerang bakar...
nak share spy kawan2 yg len tau juga yer...thanks...
Post a Comment