Soalan;
assalamualaikum. .ustaz saya nak tanya satu soalan.
Apa hukum seseorang yang sudah baligh mandi dalam keadaan telanjang?
Jawapan;
Mandi telanjang jika di khalayak ramai hukumnya haram. 
Adapun di tempat tersembunyi atau tertutup, diharuskan.
Menurut Qadhi ‘Iyadh; hukum harus ini adalah pandangan 
jumhur (majority) ulamak. Mereka berdalilkan hadis Nabi s.a.w. 
yang menceritakan; “Adalah Bani Israel mandi dengan bertelanjang 
(sesama mereka di mana) sebahagian mereka melihat kepada 
sebahagian yang lain. Akan tetapi Nabi Musa a.s. mandi bersendirian 
(kerana menjaga auratnya). 
Maka mereka (yakni Bani Isreal) mendakwa;
 ‘Demi Allah! Tidak menghalang Musa mandi bersama kita 
melainkan kerana buah zakarnya bengkak’. Satu hari Musa 
pergi untuk mandi. Ia meletakkan pakaiannya di satu batu. 
Tiba-tiba batu itu lari bersama pakaiannya. Musa pun keluar dari 
tempat mandi itu (dalam keadaan bertelanjang) mengekori 
batu itu sambil memanggil; ‘Pakaianku, wahai batu’, hingga ia dilihat 
oleh Bani Isreal. Maka mereka berkata; ‘Demi Allah! Tidak ada 
sebarang kecacatan pada Musa (sebagaimana yang didakwa)’. 
Musa dapat mengambil kembali pakaiannya dan dia lalu 
memukul batu itu” (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a.).
 Jika mandi bertelanjang di tempat tertutup itu haram hukumnya, 
sudah tentu Nabi s.a.w. akan menjelaskannya dalam hadis di atas. 
Maka tanpa penjelasan dari baginda, menunjukkan bahawa perbuatan 
tersebut adalah harus. Menurut ulamak; berhujjah dengan hadis 
tersebut adalah satu cabang dari berhujjah dengan syariat sebelum Islam.
Walaupun harus, namun yang terbaik ialah mandi dengan menutup 
aurat dengan kain basahan atau sebagainya. Ini kerana terdapat hadis
 dari Mu’awiyah bin Haidah r.a. yang menceritakan; 
Aku telah bertanya Rasulullah s.a.w.; “Ya Rasulullah! Bila masanya 
wajib kami tutup dan bila masanya harus kami buka?”. 
Jawab baginda; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu 
atau kepada hamba yang kamu miliki”. Aku bertanya lagi; 
“Bagaimana jika sekiranya seseorang dari kami sedang bersendirian?” .
 Nabi menjawab; “Allah lebih layak untuk kamu malu dari manusia” 
(Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. 
Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan).
Imam Abu Laila menyanggahi pandangan jumhur di atas
 di mana menurut beliau; ditegah mandi telanjang sekalipun 
ditempat tertutup atau tersembunyi kerana air juga mempunyai penghuninya.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
 1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 4, 
Kitab al-Haidh, Bab Jawaz Ightisal Uryanan Fi al-Khalwah.
Nota kaki;
Secara amnya, harus bertelanjang ketika bersendirian jika ada 
keperluan seperti ketika mandi, ketika buang air, ketika bergaul 
dengan isteri dan sebagainya. Jika tiada keperluan, para ulamak 
berbeza pandangan.
Menurut mazhab Syafi’ie (berdasarkan pandangan 
yang rajah); haram bertelanjang tanpa ada keperluan, yakni; 
hukum menutup aurat ketika bersendirian adalah wajib kecuali 
ketika perlu membukanya seperti dalam beberapa keadaan di atas.
Sekadar memanjangkan tazkirah.. daripada email yang diterima..
Sekian…laporan hukum mandi telanjang…
td psl berkemban, ni psl mandi bogel lak..hehe..
ReplyDeletemekaseh yer share..
sesame :))
ReplyDelete